BATU PAHAT – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa usul dibawa UMNO Bahagian Sembrong berhubung desakan supaya penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam parti itu ditarik balik akan dinilai dan dipertimbangkan.
Beliau berkata, usul berkenaan merupakan salah satu daripada ratusan usul yang lazim dibawa setiap kali musim persidangan UMNO di peringkat bahagian.
“Itu adalah usul yang dibawa oleh salah satu daripada keseluruhan 191 bahagian UMNO di seluruh negara.
"Seperti bahagian-bahagian lain, usul itu akan dihantar ke Ibu Pejabat UMNO untuk dikaji dan ditimbang sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Batu Pahat pada Ahad.
Pada Sabtu, UMNO Bahagian Sembrong sekali lagi membawa usul supaya penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, tahun ini merupakan tahun kedua usul tersebut dibawa oleh bahagian itu, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu bekas Naib Presiden UMNO itu kembali aktif dalam parti.
**media[3174628]**
UMNO sebelum ini melaksanakan pembersihan dalaman parti apabila beberapa pemimpinnya digantung dan dipecat, termasuk Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Ketika ditanya sama ada usul terbabit akan dipertimbangkan meskipun bekas pimpinan terlibat tidak pernah mengemukakan rayuan, Mohamed Khaled menjelaskan UMNO hanya membincangkan soal usul yang dibawa.
"Sekarang ini ada usul, kita (UMNO) akan timbang soal usul, bukan soal individu," katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO perlu melakukan anjakan budaya politik agar lebih selari dengan kehendak semasa dan keperluan rakyat, termasuk menyediakan barisan kepimpinan masa hadapan untuk negara, bukan hanya untuk parti semata-mata.
Beliau turut menggariskan beberapa saranan penting kepada UMNO agar terus relevan dan diyakini rakyat.
"UMNO perlu sesuaikan budaya politik dengan era semasa. Kita perlu berasaskan kepada agenda dan isu rakyat, bukan lagi nostalgia masa lalu," ujarnya.